Sindiket perjudian ‘Geng Ah Tai’, empat individu ditahan

Sindiket perjudian ‘Geng Ah Tai’, empat individu ditahan

Kota Kinabalu: Polis Sabah menahan empat individu membabitkan sindiket perjudian dalam talian dikenali sebagai ‘Geng Ah Tai’ termasuk tiga yang sebelum ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Semua individu yang ditahan membabitkan dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 23 hingga 57 tahun yang dipercayai menjadi dalang kepada aktiviti perjudian haram berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, tangkapan pertama membabitkan tiga individu yang dibebaskan dengan SPRM untuk membantu siasatan polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali (tengah) ketika sidang media berkenaan perkembangan tangkapan ketua sindiket judi dalam talian bersama Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy (kiri).

Katanya, hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan yang dipercayai turut terbabit dalam sindiket berkenaan.

“Risikan dan siasatan yang dijalankan membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki tempatan berusia 30-an, jam 2.15 petang, Sabtu lalu, di Taman Anugerah, Tawau.

“Suspek dipercayai turut terbabit menjalankan aktiviti perjudian atas talian dan dipercayai salah seorang ahli sindiket perjudian tambah nilai atas talian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Turut hadir pada sidang media berkenaan, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy.

Hazani berkata, permohonan reman terhadap suspek tangkapan sudah dibenarkan sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka dan juga tindakan undang-undang pencegahan jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c), Seksyen 4A(a) dan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 selain tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membanteras aktiviti perjudian haram di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Karunanithy mengesahkan tiada tangkapan dilakukan terhadap mana-mana anggota penguatkuasa.

Katanya, SPRM hanya memberi fokus terhadap tiga individu terbabit mengikut Akta SPRM 2009 iaitu memberi sogokan kepada anggota penguatkuasa.

Dalam laporan yang dikeluarkan 21 Jun lalu, SPRM menahan tiga individu terbabit dan sebanyak RM39,199 wang tunai dirampas selain menyita empat akaun bank berjumlah RM586,576 dipercayai hasil daripada aktiviti perjudian haram.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|