Peniaga dan pengunjung restoran bingung

Peniaga dan pengunjung restoran bingung

Kota Kinabalu: Seorang pengunjung kedai makan di sebuah restoran di Api-Api Centre, di sini, mengaku kebingungan selepas diarah keluar ketika baru saja mula menjamu selera.

Pelanggan terbabit, Mohd Reduan Salim, 32, berkata, ketika sampai di kawasan berkenaan, dia melihat beberapa restoran membuka kedai dengan menyediakan kerusi dan meja untuk pelanggan.

Katanya, tanpa rasa was-was, dia terus masuk ke sebuah restoran dan memesan makanan dan minum untuk sarapan pagi.

“Bagaimanapun, ketika baru saja mula menjamu selera, pemilik kedai mengarahkan saya segera keluar dan memaklumkan akan membungkus makanan untuk dibawa pulang.

“Pemilik kedai mendakwa prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan kerajaan negeri semalam belum berkuatkuasa dan mereka boleh dikenakan kompaun kerana membenarkan pelanggan makan di dalam kedai,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Reduan berkata, dia cuba membuka telefon pintar dan menunjukkan kenyataan Ketua Menteri yang tular di aplikasi WhatApps namun pemilik mendakwa itu belum dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, tinjauan beberapa premis restoran mendapati ramai pengusaha yang menyuarakan kekecewaan dengan apa yang berlaku hari ini.

Seorang pengusaha restoran Fizo Mustapa berkata, pada awalnya dia membenarkan pelanggan makan di kedai kerana kebenaran itu sudah diumumkan Ketua Menteri Sabah.

Katanya, kenyataan itu dikeluarkan di laman facebok rasmi ketua menteri dan boleh dianggap sahih.

”Kenyataan rasmi yang dikeluarkan Facebook rasmi beliau itu membuatkan ramai yang beranggapan pelanggan boleh makan di premis restoran.

”Tetapi hari ini, saya dengar ada restoran yang diarahkan tutup dan diarahkan supaya tidak membenarkan ‘dine in’ oleh penguatkasa.

”Apa semua ini, kenapa dulu SOP dapat dikeluarkan lebih awal sekarang pula tidak dapat? Sudah pasti perkara ini menjadikan rakyat bingung, kenapa kerajaan macam ini?,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS) Nordin Thani ketika dihubungi, mempersoalkan tindakan kerajaan yang mengumumkan beberapa kelonggaran tetapi sehingga kini masih belum ada SOP baru dikeluarkan.

Katanya, tindakan itu bukan saja membingungkan tetapi turut mempermainkan perasaan rakyat khususnya peniaga yang mahu melakukan segala persiapan termasuk membeli bahan makanan untuk dijual.

”Sepatutnya perkara itu perlu diumumkan secara jelas, jangan hanya umum untuk gembirakan hati rakyat tetapi tiba-tiba ianya tidak berlaku seperti diharapkan.

”Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, pengurusan krisis itu penting supaya satu keputusan dapat dicapai dengan baik dan lebih efektif,” katanya.

Menurutnya, keputusan yang kerap berubah-ubah hanya mencerminkan kerajaan kurang kredibiliti.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|