Kontrak tiga pemain utama dilanjutkan sehingga November 2022 : Marzuki

Kontrak tiga pemain utama dilanjutkan sehingga November 2022 : Marzuki

Kota Kinabalu: Sabah FC mengambil langkah awal melanjutkan kontrak tiga pemain tonggak utama sehingga November tahun depan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia.

Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir berkata, ketiga-tiga pemain terbabit adalah Alto Linus, Randy Baruh dan pemain import, Saddil Ramdani.

Katanya, mereka sudah menandatangani pelanjutan kontrak di ibu pejabat kelab yang disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Khairul Firdaus Akhbar Khan.

“Lanjutan kontrak ini sebagai imbuhan atas prestasi terbaik mereka sepanjang pusingan pertama Liga Super serta komitmen pihak pengurusan Sabah FC menuju ke era pengurusan yang lebih profesional dan komprehensif.

“Kita tetap penuhi janji pihak pengurusan kepada pemain-pemain yang menunjukkan komitmen dan prestasi cemerlang serta memberangsangkan sama ada di dalam atau di luar padang sepanjang beraksi bersama Sabah FC,” katanya.

Marzuki berkata, ini adalah langkah pertama dan berterusan kepada pemain-pemain lain selepas pihak pengurusan berpuas hati terhadap komitmen dan mutu permainan mereka.

Katanya, kontrak ketiga-tiga pemain terbabit sepatutnya tamat November ini namun diperbaharui lebih awal berdasarkan persetujuan bersama antara ketiga-tiga mereka dan pengurusan Sabah FC.

“Bermula hari ini, ketiga-tiga mereka akan menerima kontrak serta gaji baharu. Ini bermakna akan terdapat peningkatan gaji mereka selepas persetujuan daripada kedua-dua pihak.

“Pihak pengurusan Sabah FC juga merancang untuk menandatangani pelanjutan kontrak beberapa pemain lagi dalam tempoh terdekat,”’katanya,

Menurutnya, Sabah FC berharap komitmen yang ditunjukkan ketiga-tiga pemain ini akan menjadi contoh kepada pemain-pemain lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|