PPM tahan bot pukat tunda

PPM tahan bot pukat tunda

Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) daerah ini berjaya menahan sebuah pukat tunda selepas didapati beroperasi menangkap ikan kurang tiga batu nautika dari pesisir pantai.

Bot berkenaan dikesan semasa menjalankan Op Benteng Covid di perairan daerah ini, kira-kira jam 12.30 tengah malam, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, semasa menjalankan tugas rondaan, PPM menerima maklumat dari seorang nelayan.

Katanya, nelayan terbabit mendakwa terdapat aktiviti penangkapan ikan oleh bot jenis pukat tunda berdekatan pesisir pantai di perairan laut Tuaran.

PPM merampas pelbagai jenis ikan yang ditangkap kurang tiga batu nautika dari pesisir pantai. (Gambar ihsan PPM Sabah)

“Ketika sampai di lokasi, PPM menemui sebuah bot berkenaan yang sedang leka menjalankan operasi menangkap ikan.

“Pemeriksaan lanjut terus dilakukan dan mendapati bot nelayan berkenaan melanggarkam undang-undang dengan menjalankan operasi menangkap ikan kurang tiga batu nautika dari Tanjung Luk Pisuk, Tuaran, di sini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Roslan berkata, siasatan lanjut mendapati modus operandi bot nelayan berkenaan adalah menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan pada sebelah malam.

PPM merampas pelbagai jenis ikan yang ditangkap kurang tiga batu nautika dari pesisir pantai. (Gambar ihsan PPM Sabah)

Katanya, bot berkenaan juga didapati dengan sengaja memadamkan lampu kapal bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.

“Juragan bot nelayan warganegara Indonesia berusia 30 tahun diperiksa dan ditahan atas kesalahan melanggar syarat lesen Perikanan.

“Bot berkenaan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Sehubungan itu, Roslan berkata, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 0132831197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|