Sepasang kekasih, rakan lalok dadah ditahan

Sepasang kekasih, rakan lalok dadah ditahan

Beaufort: Sepasang kekasih dan seorang rakan berusia 20 hingga 30-an ditahan selepas dipercayai sedang menagih dadah di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lawa, Gadong, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan ‘Op Tapis’ jam 11.30 pagi itu, pasangan kekasih berkenaan dikesan berada di dalam bilik manakala rakan mereka pula berada di dapur sedang menagih dadah.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, operasi dijalankan hasil maklumat yang diterima dan risikan.

Katanya, dalam serbuan itu, seorang lelaki yang berada di dapur ditemui bersama dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Ketika diperiksa, lelaki terbabit didapati sedang memegang dadah seberat 80 gram dan dipercayai sedang menagih dadah berkenaan.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap ketiga-tiga mereka turut didapati positif dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, ketiga-tiga suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|