Penduduk luar bandar sambut baik program vaksinasi rumah ke rumah

Penduduk luar bandar sambut baik program vaksinasi rumah ke rumah

Kota Kinabalu: Persepsi negatif berhubung pemberian vaksin Covid-19 ternyata meleset buat penduduk luar bandar apabila kebanyakan penerima suntikan memberi gambaran positif.

Salah seorang penduduk Sindak Zaitan, 94, berkata, pada awalnya dia menyangka suntikan berkenaan sakit selain memberi kesan buruk.

Bagaimanapun katanya, ia bukan saja tidak menyakitkan malah tidak memberikan sebarang kesan buruk kepada dirinya walaupun sudah lanjut usia.

“Terima kasih sebab sudi datang rumah untuk berikan vaksin kepada saya dan cucu orang kurang upaya (OKU).

“Saya sukar untuk bergerak disebabkan usia yang sudah lanjut walaupun tidak mempunyai sebarang penyakit kronik,” katanya ketika ditemui, hari ini

Sementara itu, cucu Sindak, Norman Vester Josoh, 31, berkata, mereka sekeluarga menyambut baik usaha semua pihak yang terbabit dalam melaksanakan program vaksinasi dari rumah ke rumah khususnya di kawasan luar bandar.

Katanya, mereka sukar untuk keluar mendapatkan vaksin disebabkan jarak kampung mereka selain neneknya yang terbatas pergerakan kerana lanjut usia.

“Nenek tidak menghidap penyakit kronik namun pergerakannya sudah mula terbatas. Kini dia hanya mampu bersiar-siar sekitar kawasan rumah kami.

“Selain itu, abang sulung juga adalah seorang OKU yang mempunyai penyakit sawan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Norly Yakim, 46, berkata, pendekatan petugas kesihatan pemberian vaksin secara dari rumah ke rumah itu memudahkan penduduk kampung.

Katanya, ia berikutan ibu mentuanya, Kampadit Sambang, 88, kini sudah terlalu uzur dan tidak lagi mampu berjalan.

“Ia usaha bagus kerana Ibu mentua saya sendiri sudah tua, tambahan pula menghidap penyakit tekanan darah tinggi sehingga menyukarkannya berjalan.

“Syukur setakat ini, dia tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin berkenaan,” katanya.

Terdahulu, pemberian suntikan vaksin dari rumah ke rumah dilaksanakan sempena Program Outreach Imunisasi Covid-19 Daerah Kota Kinabalu.

Ia membabitkan beberapa lokasi perkampungan luar bandar sekitar bandar raya ini termasuklah Kampung (Kg) Talungan, Kg Kolosunan, Kg Babagon Toki, Kg Kiansom Kecil, Kg Pinahawon dan Kg. Ruminding.

Difahamkan, pada program berkenaan, seramai lebih 1,000 penduduk membabitkan Kampung Talungan, Natai, Natai Baru, Bunsut dan Lawa Mondou tampil mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara walk in.

Ia adalah program anjuran kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Penerangan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Covid, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terbabit.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|