Ranau: Seorang pemandu lori dan kelindannya nyaris maut selepas lori tiga tan yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung sedalam 70 meter di Kilometer 5 Jalan Kundasang-Ranau, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 47 dan 50 tahun terbabit dikatakan sedang dalam perjalanan menghantar barangan dari Kota Kinabalu ke Semporna.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.16 petang.
![](https://deasoka.com/wp-content/uploads/2021/07/WhatsApp-Image-2021-07-23-at-9.29.44-PM-e1627047155413-1024x510.jpeg)
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan seorang pegawai kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).
“Sebaik tiba, kedua-dua mangsa yang cedera didapati masih berada di dalam gaung dipercayai tercampak keluar dari lori berkenaan.
“Pasukan bomba terpaksa menggunakan sistem tali dan streatcher bagi membawa naik kedua-dua mangsa ke atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
![](https://deasoka.com/wp-content/uploads/2021/07/WhatsApp-Image-2021-07-23-at-9.29.43-PM-1-e1627047301228-1024x502.jpeg)
Ridwan berkata, sebaik berjaya dinaikkan, kedua-dua mangsa terus dihantar ke Hospital Ranau menggunakan EMRS dan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, operasi tamat pada jam 6.35 petang selepas semua pemantauan memastikan tiada lagi mangsa lain yang terbabit di tempat kejadian.
-Deasoka