Pemilik senjata api digesa jaga amanat: Hazani

Pemilik senjata api digesa jaga amanat: Hazani

Tawau: Pemilik senjata api berlesen di negeri ini dinasihat supaya menjaga dan menyimpan dengan selamat senjata api milik mereka bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, adalah menjadi tanggungjawab pemilik senjata api berlesen untuk menjaga dan menyimpan dengan selamat dan tidak meminjamkan senjata api kepada orang lain bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Katanya, Ketua Polis Negara (KPN) sentiasa mengingatkan tentang perkara ini, agar senjata api tidak disalah gunakan kerana terdapat beberapa kes pemilik senjata api cuai mengendalikan senjata itu hingga mencederakan orang lain dan menggunakan untuk memburu secara haram.

Hazani (kanan) menerima cenderakenangan daripada Peter (kiri) selepas majlis terbabit.

“Bagi permohonan baharu perlu mengikut prosedur serta undang-undang yang telah ditetapkan.

“Saya hanya menyokong pemohon selepas memenuhi syarat, tapi kelulusan akan diperoleh daripada KPN,” katanya ketika berucap pada Program Pembaharuan Lesen Senjata Api jenis pistol tahun 2021/2022 di IPD Tawau, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Ak Umbuas, Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Nor Azizulkifli Mansor serta pegawai kanan dan anggota perlesenan IPK Sabah.

Hazani ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Hazani berkata, antara syarat lain termasuk pemilik perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di samping memastikan tahap keselamatan senjata berada dalam keadaan baik sebelum pemeriksaan senjata dijalankan.

Pembaharuan lesen dan pemeriksaan senjata api awam ini membabitkan seramai 22 pelesen di dalam zon (1) iaitu Tawau, Semporna dan Kunak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|