1.02 juta sudah berdaftar terima vaksin di Sabah

1.02 juta sudah berdaftar terima vaksin di Sabah

Kota Kinabalu: Sabah merekodkan seramai 1,025,074 individu yang sudah berdaftar sebagai penerima vaksin setakat ini.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, mengikut pecahan, pendaftaran di MySejahtera mencatatkan jumlah tertinggi dengan 941,623 individu, diikuti laman web (83,182) dan talian vaksinasi (269).

“Untuk pendaftaran penerima vaksin pada hari ini ialah 1,668 dengan menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar sebanyak 1,025,074,” katanya.

Beliau berkata, setakat hari ini, 384 suntikan baharu dibuat bagi Fasa 1 Dos 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 65,853 orang.

“Bagi Fasa 1 dos 2 pula, dua suntikan baharu dibuat pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58,564 individu.

“Manakala, bagi Fasa 2 Dos 1 PICK, 28,292 suntikan baharu dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 506,719 orang.

“Sementara bagi Dos 2 Fasa 2 pula, 3,615 suntikan baharu harian dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 317,069 orang,” katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri itu berkata demikian dalam satu kenyataan media hariannya, pada hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan Covid-19 di Sabah, beliau berkata, empat kluster baharu direkodkan dengan melibatkan penularan jangkitan komuniti.

“Kluster yang dimaksudkan adalah Kluster Kg Mananam-Tongod, Kluster Jalan Stesen TV-Tawau, Kluster Bukit Mas- Kinabatangan dan Kluster Jalan Utara Dua-Sandakan,” katanya.

Terdahulu, Masidi berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 516 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 77,940 kes.

“Satu kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu di daerah Beaufort dan takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|