SEPA gesa siasatan penuh

SEPA gesa siasatan penuh

Kota Kinabalu: Komuniti aktiviti selam Sabah amat terkejut dengan berita mengenai insiden kerosakkan terumbu karang di kawasan di Pulau Mabul, di sini, yang disebabkan sebuah tongkang membawa bahan binaan.

Presiden Sabah Environmental Protection Association (SEPA), Alexander Yee berkata, sebaik menerima khabar berkenaan, dia terus menghubungi beberapa operator selam yang beroperasi di Pulau Mabul untuk lebih memahami situasi sebenar.

Katanya, dia difahamkan tongkang berkenaan menuju ke Pulau Mabul untuk pembinaan pos keselamatan untuk menjaga keselamatan penduduk pulau dan penyelam di sekitarnya.

“Namun, difahamkan tongkang yang digunakan terlalu besar untuk mendarat di pulau dan ia mengakibatkan kemusnahan terumb karang yang terdapat di pulau berkenaan.

“Ia amat mengejutkan, walaupun dengan peraturan ketat, syarikat kontraktor dilantik kerajaan boleh masuk ke kawasan persekitaran sensitif seperti Pulau Mabul dan mengakibatkan kerosakkan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Alexander berkata, merujuk kepada Perintah Perlindungan Alam Sekitar ia adalah syarat wajib untuk pembangunan pesisir pantai di Sabah untuk menjaga persekitaran berdasarkan Jadual Pertama dan Kedua Perintah berkenaan.

Katanya, Jadual Pertama yang ditetapkan, Perkara 7 menyatakan bahawa sebarang aktiviti yang boleh merosakkan atau memberi kesan buruk terhadap kualiti persekitaran Para (i) Pembinaan bangunan untuk tujuan awam dalam jarak 200 meter perlu dielakkan.

“Untuk pembangunan pesisir, konsultan persekitaran yang berdaftar di Environment Protection Department (EPD) harus terlebih dahulu membuat laporan Penilaian Persekitaran untuk diserahkan kepada, dan disetujui oleh EPD Sabah sebelum projek dimulakan.

“Ini adalah langkah penting bagi memastikan kemungkinan kesan aktiviti pembangunan pesisir pantai terhadap alam sekitar difahami dan dipertimbangkan sepenuhnya, sebelum sebarang pembangunan dijalankan,” katanya.

Alexander berkata, pihak berwajib juga digesa menjalankan penyiasatan dan memastikan bahawa kontraktor berkenaan diambil tindakan sekiranya terdapat bukti kecuaian.

Katanya, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar juga digesa mengembalikan semula pembabitan SEPA dengan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar.

“Sebelum ini, SEPA adalah salah satu ahli panel semakan EIA dalam EPD. Kehadiran SEPA sering memberikan maklum balas yang tidak berat sebelah daripada masyarakat umum,” tegasnya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|