Nombor ekor haram pencetus kluster

Nombor ekor haram pencetus kluster

Kota Kinabalu: Penjualan nombor ekor secara haram dikenalpasti menjadi punca jangkitan Covid-19 di daerah Keningau, hari ini.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, penularan kes komuniti dikenali sebagai Kluster Bata Durok, Keningau itu bermula daripada kes indeks seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun.

“Kluster Kuarters Bata Durok, Keningau melibatkan penularan kes Covid-19 dalam komuniti di Mukim Lingkudau, Luagan dan Patikang di Daerah Keningau.

“Kluster ini mula direkodkan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau melalui saringan pra-kemasukan wad terhadap kes indeks dari Taman Keningau Ville di Hospital Keningau pada 23 Jun lalu.

“Siasatan kontak rapat kemudian mendapati 11 lagi kes positif RTK-Ag masing-masing dua kes pada 24 Jun dan sembilan (9) kes pada 26 Jun menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 bagi kluster ini sebanyak 12 kes.

“Berdasarkan siasatan awal, aktiviti sosial iaitu penjualan nombor ekor haram dipercayai menjadi punca jangkitan merebak kepada ahli keluarga seterusnya komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media hariannya di sini, hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, selain Kluster Bata Durok, Keningau, pihaknya turut merekodkan dua kluster baharu membabitkan Kluster Linau Kumpang, Kota Belud serta Kluster Tembok, Kota Kinabalu, Papar dan Penampang.

“Bagi Kluster Linau Kumpang, Kota Belud pula, ia membabitkan kes indeks seorang wanita berusia 40 tahun sebelum menemukan 29 kes positif Covid-19.

“Manakala untuk Kluster Tembok, jumlah kumulatif yang dicatatkan adalah sebanyak 34 kes,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 190 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 68,767 kes.

Tiada kes kematian direkodkan hari ini.

-Deasoka


 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|