Semporna: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup petrol dan tong gas petroleum cecair (LPG) dalam kejadian di perairan laut Sisipan, di sini, semalam.
Dalam kejadian 5 petang itu, juragan bot nekad terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan hutan bakau dan gagal dikesan.
Pegawai Pemerintah PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, ketika anggota PPM dalam tugas perondaan di perairan Semporna mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, ketika dihampiri juragan bot melarikan diri dan hasil pemeriksaan menemui 12 tong berisi petrol dan dua tong gas LPG yang disyaki cuba diseludup ke Filipina.
“Bot dan muatan dianggarkan bernilai RM27,931 dirampas kerana disyaki cuba seludup barang kawalan ke Filipina.
“Semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, pihak turut merampas sebuah pam bot dengan membawa 15 kotak minyak masak di Jeti Kayu Hujung Pasar Kampung Air.
“Juragan bot gagal dikesan selepas nekad terjun ke laut dan melarikan diri ke laut Pulau Bum-Bum.
“Pemeriksaan turut menemui pelbagai jenis ikan sebanyak 10 kilogram dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya.
Mohammad berkata, jumlah nilai keseluruhan rampasan membabitkan dua kes ini bernilai RM32,181.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perikanan 1985,” katanya.
-Deasoka