Ranau: Seramai 14,900 penduduk daripada 78,000 populasi daerah ini direkodkan sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, setakat ini sekurang-kurangnya 30 peratus daripada penduduk sudah mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin.
Katanya, bagi daerah Ranau, sebanyak sembilan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka untuk operasi pemberian vaksin kepada penduduk.
“Satu ditempatkan di dewan masyarakat manakala selebihnya membabitkan Klinik Kesihatan Paginatan, Klinik Kesihatan Timbua dan Klinik Kesihatan Perancangan.
“Selain itu, empat lagi PPV dibuka di Klinik Kesihatan Lohan, Klinik Kesihatan Kundasang, Klinik Kesihatan Bundu Tuhan dan Klinik Ibu dan Anak,” katanya selepas hadir dalam program outreach di Sekolah Kebangsaan (SK) Kawiyan, hari ini.
Joachim berkata, jumlah penerima vaksin pada hari ini hanya seramai 125 orang walaupun Pejabat Kesihatan Ranau menyediakan sebanyak 200 vaksin sebagai persediaan sekiranya ada penambahan diperlukan.
“Program ini adalah usaha kerajaan dalam memastikan semua rakyat Sabah khususnya di kawasan pedalaman di bawah Dewan Undangan Negeri (Dun) Kundasang menerima vaksin.
“Masyarakat dinasihatkan supaya tidak percaya dengan dakwaan kesan negatif seperti yang disebarkan di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Joachim berkata, pengambilan vaksin amat penting dalam usaha melawan penularan Covid-19.
-Deasoka