Seorang lagi tahanan DTI Papar ditahan

Seorang lagi tahanan DTI Papar ditahan

Papar: Seorang lagi suspek yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Papar, di sini, Rabu lalu, berjaya ditahan, hari ini.

Suspek yang ditahan dikenali sebagai Tuliang Madalani, 35, berjaya ditahan di Pantai Kampung Gusi, di sini, jam 3.15 petang tadi.

Ketika ditemui, lelaki yang berasal dari negara jiran Filipina terbabit yang didapati memakai pakaian perempuan berkenaan dipercayai cuba meloloskan diri keluar daripada daerah Papar.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, penahanan suspek itu menjadi suspek yang masih diburu adalah seramai empat orang.

Katanya, operasi memburu semua suspek yang masih bebas akan diteruskan di beberapa lokasi sekitar daerah berkenaan.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar akan meneruskan usaha memburu suspek yang masih bebas dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), unit anjing pengesan K9 dan Pasukan Polis Marin (PPM).

“Penahanan semua 10 individu terbabit menjadikan suspek yang masih bebas adalah seramai empat orang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Batholomew berkata, suspek yang masih bebas dikenali sebagai Nadzwin Usman, Herman Bilau, Husin Japar dan Pertama Lapanji berusia 24 hingga 43 tahun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta supaya berhubung dengan bilik gerakan IPD Papar di talian 088-912222 dan 088-916064 atau balai polis berhampiran untuk tindakan segera,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, seramai 14 tahanan melarikan diri pada jam 3.30 pagi dengan merosakkan siling tandas pusat tahanan berkenaan sebelum memotong jeriji pagar pusat tahanan berkenaan.

Bagaimanapun, tujuh daripada 14 tahanan berjaya ditahan semula pada hari yang sama manakala dua lagi ditahan semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|