Sama-sama bantu OKU – Shahelmey

Sama-sama bantu OKU – Shahelmey

Kota Kinabalu: Agensi berkaitan di Sabah digesa sama-sama berganding bahu dalam usaha memperkasa orang kelainan upaya (OKU), khususnya menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata golongan OKU juga perlu diberi peluang dalam alam pekerjaan agar dapat berdikari dan menjalani hidup lebih baik.

“Golongan OKU juga perlu diberi peluang untuk berdikari dalam mencari rezeki tanpa perlu bergantung dengan bantuan orang lain semata-mata.

“Ini satu yang patut kita jadikan inspirasi, jika mereka boleh kita pasti boleh. Sehubungan itu, saya menyeru agar lebih banyak agensi lain turut berganding bahu dan sama-sama memperkasa bukan saja golongan OKU tetapi juga setiap lapisan masyarakat.

“Ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk membolehkan semua rakyat Malaysia mencapai taraf kehidupan yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Memperkasa Usahawan di Kalangan Peserta Program Return To Work (RTW) anjuran PERKESO di Wisma PERKESO Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Terdahulu, pada program berkenaan, Shahelmey berkata RTW adalah komitmen PERKESO dalam membantu golongan OKU.

“PERKESO terus komited dengan mengambil langkah yang lebih bersasar untuk membantu kumpulan yang memerlukan dengan memperkemas sistem penyampaian di semua peringkat.

“Program RTW ini diharap dapat memberikan harapan dan kehidupan yang lebih baik kepada masyarakat Malaysia khususnya penduduk Sabah yang berdaftar dan mencarum di bawah PERKESO,” katanya.

RTW adalah satu program pemulihan fizikal yang disediakan kepada Orang Berinsurans (OB) PERKESO yang mengalami hilang upaya akibat kecederaan dan penyakit bagi membantu mereka untuk bekerja semula atau berdikari menjana pendapatan.

Pada program itu seramai 30 orang peserta menerima sumbangan berupa wang tunai daripada PERKESO di samping didedahkan dengan taklimat keusahawanan dan taklimat bantuan khas untuk OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|