Penduduk Darau sertai kursus pengendalian makanan anjuran UMS, DBKK

Penduduk Darau sertai kursus pengendalian makanan anjuran UMS, DBKK

Kota Kinabalu: Seramai 20 penduduk Kampung Darau, Manggatal, di sini, diberi latihan mengenai kaedah penyediaan dan pengendalian makanan menerusi program pembinaan kapastiti masyarakat, baru-baru ini.

Ia adalah antara usaha yang dilaksanakan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam menyediakan kemahiran bermanfaat kepada penduduk kampung.

Kursus Penyediaan dan Pengendalian Makanan itu juga adalah persediaan awal ke arah menjadikan Kampung Darau sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti di bandar raya ini.

Ketua Program Pengurusan Pelancongan UMS, Prof Madya Dr Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul, berkata penduduk kampung didedahkan dengan teknik menyediakan hidangan yang sesuai, unik dan popular untuk disajikan kepada pelancong.

“Kita juga memberi motivasi kepada mereka supaya menjadi lebih kreatif dan menggunakan bahan tanaman sendiri dalam penyediaan makanan dan minuman,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kursus itu diadakan di Hotelab FPEP UMS, kursus dengan gabungan kerjasama FPEP dan Jabatan Kemajuan Pelancongan Bandaraya DBKK.

Dr Hassanal berkata kursus berkenaan dikendalikan Pensyarah Kanan Program Pengurusan Hotel UMS, Dr Arif @ Kamisan Pusiran dan Pensyarah Kanan Program Pemasaran UMS, Dr Azaze @ Azizi Abdul Adis.

“Selain produk makanan, kursus ini turut berkongsi pengetahuan dan idea mengenai cara untuk membentuk produk berbentuk cenderahati yang berkualiti dan unik.

”Semoga usaha UMS dan DBKK ini dapat mempersiapkan penduduk dalam bidang pelancongan berasaskan komuniti sekali gus memperkasa dan mencipta pendapatan sampingan kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Pelancongan Bandar, DBKK, Fauziahton Ag Samad, berkata komuniti semakin bersedia untuk menerima pelancong dengan kemahiran yang diperolehi.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam kursus di Kampung Darau khasnya kepada UMS dan semua peserta yang hadir,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|