Sentimen keluar Malaysia tiada kaitan kerajaan negeri – Hajiji

Sentimen keluar Malaysia tiada kaitan kerajaan negeri – Hajiji

Papar: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kerajaan negeri tidak terbabit dengan sebarang sentimen yang dikaitkan dengan gerakan untuk membawa keluar Sabah dari Malaysia.

Mengulas dakwaan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman berhubung kewujudan gerakan seumpama itu seperti dikatakannya di Dewan Rakyat baru-baru ini, Hajiji berkata perkara itu adalah sentimen wakil rakyat terbabit.

“Itu dia (Mohd Azis) punya sentimen bukan sentimen kerajaan, jadi saya tidak boleh komen lanjut mengenai perkara tersebut.

“Tetapi saya nyatakan kita ini dalam satu negara, negara Malaysia yang kita bentuk bersama-sama Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung.

“Jadi apabila kita bentuk sebuah negara maka kita akan pastikan negara ini menjadi negara kita yang memberi harapan dan juga masa depan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, keturunan dan kepercayan mereka,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan ehsan mangsa banjir di Kampung Labak, Kinarut, hari ini.

Hajiji diminta mengulas dakwaan Mohd Azis berhubung sentimen itu ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Hajiji menegaskan tidak timbul soal lain yang bertentangan dengan usaha mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara.

Sebaliknya, beliau menekankan bahawa Malaysia akan terus wujud dan kekal sebagai sebuah negara seperti termaktub dalam perlembagaan.

“Jadi soal lain tidak timbul, (sebaliknya) kita pastikan negara ini akan terus wujud dan kekal selama-lamanya untuk rakyat kita seperti mana yang termakltub dalam perlembagaan,” katanya.

Mohd Azis yang juga Ketua Wira Parti Warisan Sabah (WARISAN) mendakwa suara mendesak keluar Malaysia semakin lantang disuarakan di Sabah dan Sarawak kerana kecewa dengan layanan Putrajaya terhadap tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|