Papar: Kelewatan urusan penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina yang ditahan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah disebabkan kegagalan kerajaan negara itu mempercepatkan penyediaan dokumen perakuan diperlukan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia menyebabkan ramai PATI negara itu lambat dihantar pulang, namun katanya usaha sedang dilakukan untuk memastikan keperluan dokumen perakuan itu dapat disegerakan.
“Perbincangan dengan kerajaan Filipina setakat ini masih terus berjalan supaya negara itu dapat menerima semula rakyat mereka yang ditahan di negeri ini.
“Masalah kelewatan ini adalah kerana kerajaan Filipina tidak memberi dokumen untuk memudahkan perjalanan pulang mereka (PATI).
“Kita kena tunggu selagi tidak ada satu dokumen perakuan daripada kerajaan Filipina kepada tahanan ini maka timbul kelambatan seperti yang kita nampak berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Labak, Kinarut, dekat sini, hari ini.
Hajiji diminta mengulas perbincangan di antara pihak berkuasa di negeri ini dengan pihak Filipina mengenai isu penghantaran pulang tahanan PATI ke negara asal.
Kelewatan penghantaran pulang tahanan dipercayai punca berlaku rusuhan PATI di PTS negeri ini kerana tidak berpuas hati proses penghantaran pulang ke negara asal mereka tertangguh.
Malah, ada PATI bertindak melarikan diri seperti berlaku di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Kimanis pada Rabu lalu, membabitkan 14 tahanan warga Filipina yang dalam proses pengusiran.
Sehubungan itu, Hajiji berharap kerajaan Filipina dapat memberi kerjasama sepenuhnya dalam usaha memudahkan penghantaran semula tahanan PATI ke negara itu.
“Harapan kita supaya kerajaan Filipina memberi kerjasama sepenuhnya terutama berkaitan dengan rakyat mereka tidak mempunyai dokumen yang ditahan di sini, supaya memudahkan penghantaran balik rakyat mereka.
“Jika ini dapat diproses cepat, maka kita akan hantar mereka dengan cepat ke negara asal mereka,” katanya.
-Deasoka