Covid-19 Sabah: 6 daerah penyumbang utama kenaikan kes

Covid-19 Sabah: 6 daerah penyumbang utama kenaikan kes

Kota Kinabalu: Enam daerah dikenal pasti menjadi penyumbang ‘konsisten’ kenaikan kes baharu Covid-19 setiap hari di Sabah yang pada hari ini mencatat 611 kes berbanding 579 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daerah terbabit ialah Kota Kinabalu, Kota Belud, Tuaran, Beaufort, Ranau dan Kota Marudu.

Katanya, hari ini Kota Kinabalu mencatat jumlah tertinggi sebanyak 95 kes berbanding 54 kes semalam, diikuti Kota Belud sebanyak 68 kes berbanding 49 kes semalam dan Tuaran kekal dengan 53 kes seperti semalam.

Daerah Beaufort pula, katanya mencatat 52 kes baharu hari ini berbanding 44 kes semalam, manakala 49 kes baharu di Ranau berbanding 41 kes semalam dan 40 kes di Kota Marudu berbanding 32 kes yang direkodkan semalam.

Bagaimanapun, Masidi berkata jumlah daerah yang mencatat penurunan kes hari ini mengatasi jumlah daerah yang mengalami kenaikan kes.

“Sungguhpun berlakunya peningkatan kes harian negeri Sabah, jumlah daerah yang mencatatkan penurunan adalah lebih banyak iaitu 13 daerah berbanding dengan daerah yang mencatat peningkatan kes baharu iaitu 10 daerah. Empat daerah lagi kekal sebagaimana kes yang dicatatkan semalam,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Masidi berkata, jumlah kes sporadik atau kes yang dikesan melalui saringan bergejala kekal tinggi dengan 39.8 peratus atau 243 daripada jumlah kes harian.

“Hampir 97 peratus kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2 yang mana kes dalam kategori ini hanya memerlukan rawatan dan pemantauan di rumah atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

“Seramai empat orang dalam Kategori 3, dua orang dalam Kategori 4 dan seorang sahaja dalam Kategori 5, manakala sebanyak 12 kes lagi masih dalam penilaian pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri memaklumkan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 kini dibuka kepada individu berumur 40 tahun ke atas yang sudah lengkap enam bulan bagi vaksin Pfizer dan tiga bulan bagi penerima vaksin Sinovac.

Katanya, dos penggalak iti boleh diperolehi secara percuma di mana-mana pusat perubatan kerajaan.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 12 November 2021
Sabah 611 (579)
Malaysia 6,517 ( 6,243)

Kota Kinabalu 95 (54)
Kota Belud 68 (49)
Tuaran 53 (53)
Beaufort 52 (44)
Ranau 49 (41)
Kota Marudu 40 (32)
Kudat 32 (18)
Penampang 28 (39)
Tambunan 25 (35)
Papar 20 (31)
Putatan 19 (13)
Beluran 17 (5)
Tenom 17 (31)
Keningau 16 (19)
Kinabatangan 15 (7)
Tawau 14 (19)
Lahad Datu 12 (14)
Sipitang 12 (16)
Kuala Penyu 8 (5)
Sandakan 8 (20)
Pitas 5 (17)
Telupid 2 (4)
Kunak 2 (2)
Semporna 1 (2)
Nabawan 1 (1)
Tongod 0 (8)
Kalabakan 0 (0)

*Angka dalam kurungan adalah jumlah kes pada 11 November 2021

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|