Kembalikan kegemilangan bola sepak, misi utama SAFA

Kembalikan kegemilangan bola sepak, misi utama SAFA

Kota Kinabalu: Semua pihak perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam usaha membangunkan sukan bola sepak negeri yang bermula peringkat akar umbi.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, ia secara keseluruhannya perlu selaras dengan misi memperluaskan dan menambah bilangan jurulatih yang layak bermula dari peringkat awal.

Katanya, untuk melahirkan pemain muda selaku peneraju bola sepak negara pada masa akan datang, negara memerlukan jurulatih berkualiti.

“Saya percaya, kanak-kanak yang menerima latihan daripada jurulatih yang berkemampuan bakal menjadi peneraju bola sepak akan datang.

“Justeru itu, saya sangat berharap supaya lebih ramai jurulatih yang berkelayakan dapat melaksanakan tugas membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kursus Kejurulatihan Bola Sepak lesen ‘D’ FAM kerjasama antara SAFA dan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP), di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Instruktor Kursus Datuk Richard Scully, Ketua NFDP Aminuddin Hussin dan Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat.

Jelani berkata, SAFA akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan jumlah jurulatih berkelayakan bertambah dari semasa ke semasa.

Katanya, jurulatih yang terpilih bukan saja membabitkan lelaki semata-mata tetapi juga wanita bagi memastikan usaha meningkatkan kemampuan bola sepak wanita juga turut sama diperoleh.

Sementara itu, Richard menegaskan, usaha berterusan perlu dilakukan dalam mempertingkatkan dan memajukan sukan bola sepak di seluruh negara.

Katanya, malah sejarah bola sepak di Sabah cukup membanggakan dengan kehadiran pemain lagenda seperto Datuk James Wong, Hassan Sani dan mendiang Peter Rajah.

“Kita mahu kelahiran lebih ramai pemain berkemampuan tinggi dari semasa ke semasa yang bukan saja memberi manfaat kepada negeri Sabah tetapi juga negara secara umumnya.

“Ketika ini, Sabah juga mempunyai jurulatih cukup berpengalaman seperti Datuk Ong Kim Swee yang sudah pastinya dapat membantu merealisasikan harapan melahirkan lebih ramai pemain terbaik,” katanya.

Menurutnya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha untuk mencapai kejayaan menjadikan negara sebagai kuasa bola sepak dunia.

“Pembangunan bola sepak perlu selari bermula daripada pengurusan dan polisi baran bola sepak yang profesional, dilengkapi dengan strategi, pembangunan serta visi.

“Apa yang pasti, program pembangunan perlu bermula daripada peringkat usia awal,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|