Senjata api buatan sendiri ‘bakakuk’ dirampas

Senjata api buatan sendiri ‘bakakuk’ dirampas

Tawau: Seorang lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan pemburuan haram nekad melarikan diri selepas terserempak dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan Serudong, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, lelaki yang menaiki motosikal itu turut meninggalkan senjata api jenis ‘bakakuk’ yang dibawa sebelum menghilangkan diri.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, operasi dijalankan sepasukan anggota Tiger Platoon PGA Batalion 14 Tawau bersama kakitangan Jabatan Hidupan Liar dan Jabatan Perhutanan Negeri Sabah dalam Op Bersepadu Khazanah (OBK).

Katanya, ketika rondaan dijalankan di sekitar pagar utama Ladang Sungai Serudong Laut, Usahawan Borneo Plantation, seorang lelaki menaiki motosikal dikesan dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan operasi terus berhenti dan cuba melakukan pemeriksaan namun suspek terus memecut meninggalkan tempat kejadian.

“Usaha mengesan suspek terus dilakukan sebelum menemui motosikal yang ditinggalkan bersama selaras senjata api buatan sendiri di lokasi berhampiran,” katanya ketika dibubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, suspek gagal dikesan dan senjata api berkenaan terus dirampas dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, hasil rampasan dianggarkan bernilai RM700 dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan suspek yang terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|