Sembilan menara komunikasi beroperasi di Kudat

Sembilan menara komunikasi beroperasi di Kudat

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan operasi sembilan menara komunikasi baharu yang dibina di daerah Kudat.

Semua menara komunikasi yang dibina itu dijangka mampu meningkatkan lagi capaian internet di daerah terbabit khususnya di kawasan perkampungan.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan MCMC hari ini berkata, menara komunikasi itu dibina di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan sudah beroperasi sepenuhnya sejak 15 Jun lalu.

Katanya, pembinaan menara menerusi Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) itu dijangka akan memanfaatkan 6,520 orang penduduk di Kudat.

“Ia sekaligus mentransformasikan kehidupan penduduk setempat dalam mengharungi
era digital yang semakin pesat.

“Daripada sembilan menara berkenaan, lapan menara terletak di daerah Kudat iaitu di Kampung Kubatang, Kampung Lodung, Kampung Indarason Laut, Kampung Rondomon, Kampung Membatu, Kampung Inukiran, Kampung Panikuan, Kampung Toporoi manakala sebuah menara lagi terletak di Kampung Kabatasan di daerah Pitas,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, 13 lagi kerja-kerja pembinaan tapak menara komunikasi baru sedang giat dilaksanakan oleh pihak penyedia perkhidmatan yang dilantik dan dijangka siap secara berperingkat menjelang Disember tahun ini.

Sementara itu, MCMC turut memberitahu penambahan menara komunikasi di daerah terbabit bakal memudahkan penduduk tempatan melaksanakan pelbagai urusan harian seperti pembelajaran dalam talian, bekerja dari rumah (BDR) dan urusan perhubungan.

“Selain itu, kesalinghubungan internet yang lebih baik juga akan membantu memperbaiki sosioekonomi penduduk di kawasan ini melalui pelbagai aktiviti ekonomi yang boleh dilakukan secara dalam talian dengan lebih
lancar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|