Masih degil berhibur!, 33 individu dikenakan kompaun

Masih degil berhibur!, 33 individu dikenakan kompaun

Kota Kinabalu: Seramai 28 pengunjung, seorang pengurus dan empat pekerja sebuah pusat hiburan di KK Waterfront, Jalan Tun Fuad Stephen, di sini, dikenakan kompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19, malam tadi.

Operasi bersepadu jam 9 malam itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika pemeriksaan di premis berkenaan dijalankan, pihaknya mendapati muzik sedang dimainkan dengan kuat dan pengunjung juga sedang berhibur sambil minum minuman beralkohol.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang pengurus bersama empat pekerja premis dan 28 pelanggan ingkar serta melanggar SOP yang ditetapkan.

“Pasukan serbuan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti pusat hiburan yang dilarang ketika ini dengan keadaan pelanggan yang berada dalam premis juga tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pemilik dan pekerja premis serta semua pelanggan berusia lingkungan 19 hingga 41 tahun itu melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati premis berkenaan melanggar syarat berniaga dengan menjalankan pusat hiburan dengan menggunakan lesen restoran kelas dua.

Katanya, pemantauan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sepanjang pelaksanaan dan penguatkuasaan PKP di negara ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|