Kota Kinabalu: Hampir keseluruhan warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan sudah menerima suntikan vaksin Covid -19.
Pengarah Maritm Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, setakat ini, seramai 85 peratus anggota dan pegawai sudah menerima suntikan vaksin sejak awal April lalu.
Manakala katanya, baki 15 peratus lagi termasuk skim gunasama masih sedang menunggu giliran untuk dipanggil.
“Semua warga Maritim Malaysia di negeri ini menerima vaksin seperti yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut tempat anggota bertugas.
“Sebanyak 85 peratus warga maritim yang secara keseluruhannya merangkumi zon-zon maritim ini lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 sejak awal bulan April lalu,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Datuk Mohd Rosli Abdullah selepas menerima suntikan vaksi baru-baru ini.
Mohd Rosli berkata, tanggungjawab Maritim Malaysia menahan bot dan warga asing yang menceroboh perairan negara boleh menyebabkan mereka terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19.
Katanya, dengan adanya vaksin berkenaan, ia dapat menguatkan lagi imunisasi badan anggota yang bertugas di lapangan selain mengurangkan kesan jangkitan virus.
“Bot peronda Maritim Sabah dan Labuan juga turut diaturgerak bagi membantu pihak KMM Sabah dalam Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan PPV Mobile Outreach di daerah Sandakan.
“Ia termasuk membantu menghantar petugas – petugas kesihatan serta vaksin ke pulau-pulau di sekitar Kudat dan Sandakan,” katanya.
Mohd Rosli berkata, pihaknya berbesar hati dalam membantu KKM untuk memastikan komuniti maritim di pulau-pulau sekitar Sabah juga tidak tercicir dari mendapatkan vaksin mereka.
Sementara itu, Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan rondaan di sempadan perairan negara khususnya di Pantai Timur Sabah.
Katanya, ia bagi memastikan negara tidak dicerobohi nelayan asing dan sekali gus membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini.
“Ia juga memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan selain menghalang pertambahan variant virus berkenaan di negara kita.
“Maritim Malaysia juga mohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti bom ikan yang berlaku di persekitaran perairan negeri ditalian Pusat Operasi MN Sabah 088-387774,” tegasnya.
-Deasoka