Polis KK sumbang makanan kepada 50 keluarga di Inanam

Polis KK sumbang makanan kepada 50 keluarga di Inanam

Kota Kinabalu: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menyantuni masyarakat dengan menyampaikan bakul makanan bagi membantu 50 keluarga sekitar Kampung Tatahan, Inanam, melalui Op Bantu, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, program berkenaan yang memasuki fasa ketiga itu adalah bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, pihaknya berharap, bantuan bakul makanan yang disampaikan itu dapat meringankan bebanan keluarga yang dihadapi ketika ini.

“Bantuan bakul makanan ini diserahkan kepada mereka yang dikenalpasti betul-betul terjejas dan memerlukan bantuan oleh Ketua Balai Polis di kawasan ini.

“Setakat hari ini, IPD Kota Kinabalu sudah menyampaikan lebih 600 bakul makanan kepada masyarakat sekitar daerah ini ,” katanya pada sidang media selepas majlis ringkas penyerahan bakul makanan di Kampung Tatahan, Inanam.

Mohd Zaidi berkata, bantuan bakul makanan yang diagihkan ini bukan saja atas inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetapi juga sunbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan warga polis IPD Kota Kinabalu sendiri.

Sementara itu, mengulas mengenai pesakit Covid-19 yang melarikan diri, Ahad lalu, Mohd Zaidi berkata, usaha memburu suspek masih giat dijalankan pihak berkuasa.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh disalurkan kepada polis atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita juga harap suspek menyerah diri secepat mungkin bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat sehingga sukar dikawal,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|