Ahli perniagaan, pemilik syarikat didenda

Ahli perniagaan, pemilik syarikat didenda

Kota Kinabalu: Seorang ahli perniagaan dan pemilik syarikat masing-masing mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu, di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Tertuduh, Syah Rizal Basri, 44, dan Rosainah Nusteh, 53, yang membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat dikenakan denda sebanyak RM30,000 dan RM24,000.

Mengikut pertuduhan, pada 24 November 2016, kedua-dua tertuduh menggunakan penyata akaun bank syarikat palsu bertarikh 31 Julai, 31 Ogos dan 30 September 2016.

Dokumen dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Sabah bagi tujuan mendapatkan tender perkhidmatan membekal makanan bermasak ke asrama sebuah sekolah menengah di Membakut, Beaufort, bagi kontrak 1 Mac 2017 hingga 28 Februari 2019.

Kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh Syah Rizal dikenakan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM30,000.

Bagi tertuduh kedua pula, mahkamah memerintahkannya membayar denda sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM24, 000.

Prosiding dikendalikan pegawai pendakwa, Norham Saharom dan tertuduh pertama diwakili peguam, Safrin Salleh manakala tertuduh kedua diwakili Shahlan Jufri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|