Pemandu maut tersepit bawah kenderaan

Pemandu maut tersepit bawah kenderaan

Ranau: Seorang pemandu pacuan empat roda maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Kampung Kologon, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa Amin Sarigol, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dilaporkan tersepit di bawah kenderaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 9.13 pagi sebelum mengerahkan 10 anggota dan pegawai ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian yang terletak tiga kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, mangsa didapati masih tersepit di bawah kenderaannya.

“Operasi mengeluarkannya segera dijalankan dan mangsa berjaya dikeluarkan beberapa minit selepas itu.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.50 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|