Lantik doktor kontak ke jawatan tetap, asalkan tidak terbeban: Bung

Lantik doktor kontak ke jawatan tetap, asalkan tidak terbeban: Bung

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi cadangan supaya melantik doktor kontrak ke jawatan tetap sekiranya ia tidak memberi beban kepada kerajaan.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan mempunyai peruntukan, ia tidak menjadi kesalahan untuk melantik mereka ke jawatan tetap berdasarkan kelulusan masing-masing.

“Isunya iaitu doktor yang tidak berjawatan tetap memohon untuk diserapkan ke jawatan tetap, jika tidak membebankan kerajaan bagi sajalah (lantik ke jawatan tetap)” katanya.

Bung Moktar berkata demikian ketika mencelah ucapan Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada sesi perbahasan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga majlis Parlimen ke-14 Sidang Dewan Rakyat, di ibu negara, kemarin.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut menambah, terdapat keperluan untuk menambah bilangan doktor di negara ini khususnya di Sabah dalam menghadapi penularan pandemik Covid-19.

“Dalam situasi getir ini kita memerlukan lebih ramai doktor berada di barisan hadapan bagi membantu dan merawat pesakit khususnya Covid-19 yang semakin meruncing ketika ini” katanya.

Menurutnya lagi, sekiranya tidak dapat dilantik secara tetap, Bung Moktar berharap kerajaan mempertimbangkan supaya lantikan kontrak mereka dilanjutkan dalam tempoh sesuai.

Mengambil contoh, beliau berkata, ini termasuk menawarkan kontrak perkhidmatan empat tahun kepada golongan itu, berbanding kontrak dua tahun sebelum ini bagi tujuan membolehkan mereka menjalani ujian kepakaran.

“Kerajaan perlu memberi keutamaan untuk menyelesaikan isu ini memandangkan petugas kesihatan termasuk petugas berstatus kontrak terpaksa memikul beban yang berat susulan peningkatan kes Covid-19 dalam negara pada masa ini” katanya.

Sementara itu, dalam sesi perbahasan kelmarin, Bung Moktar turut berkesempatan mengemukakan cadangan kepada Menteri Kesihatan pusat, Datuk Seri Dr Adham Baba untuk mempertimbangkan pembekalan sebuah bot kegunaan klinik kesihatan di Pulau Bangi, Kudat.

Jelasnya, kemudahan itu dalam memastikan kes-kes kecemasan di kepulauan berkenaan dapat diatasi dengan setiap rawatan lanjut boleh dibawa Hospital Kudat yang terletak di tanah besar daerah tersebut.

“Saya harap Yang Berhormat Menteri Kesihatan dapat memberikan pertimbangan untuk membekalkan sebuah bot untuk kegunaan Klinik Kesihatan Pulau Bangi” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|