Ada sejarah penyakit jantung

Ada sejarah penyakit jantung

Penampang: Seorang lelaki terbaring yang ditemui meninggal dunia di hadapan sebuah restoran di Pusat Komersial Plaza 333, di sini, pagi tadi, pernah menerima rawatan sebagai pesakit jantung.

Kejadian yang turut tular di media sosial berkenaan disedari orang awam pada jam 10.50 pagi selepas melihat mangsa yang berusia 67 tahun itu terbaring sebelum menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, pasukan perubatan tiba di lokasi kejadian dan pemeriksaan mengesahkan mangsa disahkan meninggal dunia.

Katanya, hasil siasatan awal polis dan keterangan daripada anak mangsa yang kebetulan berada di lokasi kejadian menyatakan mangsa pernah menerima rawatan sebagai pesakit jantung.

“Mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat dan saringan Covid-19.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar mangsa di tempat kejadian untuk menjaga sensiviti keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tengah hari tadi, tular gambar mangsa terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan sebuah premis di Pusat Komersial Plaza 333.

Kejadian itu mengundang tanda tanya netizen hingga ada yang mengaitkan kejadian itu akibat jangkitan Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|