Polis tumpaskan Geng Ongas, selesaikan 10 kes jenayah

Polis tumpaskan Geng Ongas, selesaikan 10 kes jenayah

Labuan: Polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes jenayah harta benda dan curi yang dilakukan ‘Geng Ongas’ di sekitar wilayah ini selepas menahan lima anggota kumpulan berkenaan.

Semua lima suspek berusia lingkungan 18 hingga 48 tahun terbabit ditahan dalam tiga siri tangkapan bermula 17 hingga 23 Julai lalu di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Ahmad Jawila berkata, tiga daripada suspek yang ditahan adalah warga asing yang tidak memiliki dokumen diri manakala dua lagi masuk ke negara ini secara sah.

Katanya, kumpulan ini dipercayai terbabit dalam kegiatan kes jenayah pecah rumah, pecah gudang, pecah kedai, pecah kenderaan dan curi komponen enjin bot yang dilaporkan sejak 1 Mei sehingga 15 Julai lalu.

“Berdasarkan laporan 10 yang diterima, semua kes berkenaan membabitkan nilai kerugian kira-kira RM18,957.50

“Hasil penahanan kumpulan ini, polis turut berjaya merampas pelbagai barang yang dilaporkan hilang antaranya, 14 karton minuman Cola-Cola, tong gas, kipas angin, cerek pemanas dan alat pengisar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ahmad berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap semua suspek turut didapati positif dadah jenis syabu.
 
Katanya, semua suspek kini masih ditahan reman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 dan Seksyen 379(1) akta yang sama.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, polis menyeru orang ramai supaya sentiasa menyalurkan maklumat jenayah yang berlaku di kawasan
masing-masing dan peka kepada keadaan persekitaran.

Katanya, PDRM turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang sentiasa membantu menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan menyelesaikan kes-kes jenayah yang dilaporkan.

“Semoga kerjasama ini sentiasa berterusan pada masa akan datang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|