Kota Kinabalu: Sebanyak 160 set ‘Pek Hero’ disumbangan oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) kepada petugas barisan hadapan di Pusat pemberian vaksin (PPV) Insititusi Pengajian Tinggi Universiti Malaysai Sabah (IPT-UMS).
Sumbangan itu disampaikan oleh Pembantu Menteri KBSS, Andy Muhammad Suryady Bandy kepada Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM Ts Dr Taufiq Yap Yun Hin ketika mengadakan lawatan ke PPV IPT-UMS, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai program itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, sumbangan berkenaan adalah salah satu program yang dijalankan oleh KBSS sebagai tanda penghargaan dan usaha menyantuni para petugas barisan hadapan.
“Sumbangan ini sebagai tanda penghargaan KBSS kepada semua petugas barisan hadapan di UMS yang bertungkus lumus memastikan proses pemberian vaksinasi berjalan lancar sejak hari pertama PPV ini dibuka,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai segera mendaftar sebagai penerima vaksin melalui saluran yang disediakan oleh kerajaan.
“Sasaran imuniti kelompok akan lebih mudah dicapai sekiranya proses pemberian vaksin mendapat kerjasama dari semua pihak.
“Saya juga mengharapkan komitmen dari Kerajaan Persekutuan supaya bekalan vaksin untuk negeri Sabah dipercepatkan, agar tidak berlaku penangguhan pemberian vaksin seperti sebelum ini,” jelasnya.
Dalam sesi lawatan itu juga, beliau turut diberikan taklimat mengenai proses dan jumlah pemberian vaksin di PPV IPT-UMS sejak pusat itu mula beroperasi pada 14 Jun 2021.
Untuk rekod, hingga kini PPV IPT-UMS mencatat kumulatif pemberian sebanyak 21,449 dos dengan jumlah agihan 3,000 vaksin sehari.
-Deasoka