Sejuta vaksin untuk Sabah Julai ini

Sejuta vaksin untuk Sabah Julai ini

Kota Kinabalu: Sabah bakal menerima sejuta dos vaksin COVID-19 bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri itu, sepanjang bulan Julai ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya, berkata semua vaksin itu akan diterima secara berperingkat sebelum disalurkan ke semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri.

Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin selaku menteri penyelaras PICK.

“Khairy yang menghubungi saya, semalam, memaklumkan kepada saya bahawa Sabah akan menerina bekalan vaksin COVID-19 sebanyak sejuta dos pada bulan Julai ini.

“Mengikut jadual asal, penghantaran vaksin pada bulan ini hanya sekitar 700,000 dos tetapi ditingkatkan kepada sejuta dos selepas mengambil kira permintaan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Berikutan peningkatan itu, Shahelmy berkata, kerajaan negeri yang mensasarkan 30,000 dos suntikan vaksin sehari pada bulan ini dapat direalisasikan.

Katanya, langkah kerajaan Pusat itu juga dapat memastikan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok di Sabah sebelum akhir tahun ini mampu dicapai.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, pernah menyuarakan beberapa kali meminta kerajaan Pusat supaya menghantar lebih banyak vaksin ke Sabah bagi mempercepat proses vaksinasi.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|