Penampang: “Syukur atas pemberian bantuan bakul malam, hanya terima kasih dapat kami ucapkan,”. Itu kata Deborah Sabinus yang menjadi salah seorang penerima bantuan bakul makanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.
Suri rumah yang baru melahirkan anak itu berkata, bantuan berkenaan cukup membantu kelangsungan bekalan keperluan harian mereka sekeluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Katanya, suami sebelum ini bekerja sebagai pekerja am namun diberhentikan kira-kira tiga bulan lalu oleh majikan.
“Suami saya terpaksa melakukan kerja-kerja kampung termasuk mengendalikan tanah perkuburan buat masa ini untuk menyara hidup kami sekeluarga.
“Namun, pendapatan yang ada kini tidak menentu dan sangat memberi kesan kepada kami sekeluarga ,” katanya ketika ditemui selepas majlis ringkas penyerahan bantuan bakul makanan, hari ini.
Deborah berkata, dia dan suami perlu menyara empat anak termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU) berusia lapan tahun selain anak bongsu yang baru berusia dua bulan.
Katanya, inisiatif kerajaan yang disampaikan melalui Op Bantu daripada IPD Penampang itu amat besar maknanya kepada mereka sekeluarga.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, seramai 20 isi rumah sudah mendapat bantuan bakul makanan sejak pelaksanaan Op Bantu secara serentak semalam.
Katanya, IPD Penampang akan meneruskan program ini dari semasa ke semasa kepada pihak yang dikenalpasti berdasarkan maklumat daripada masyarakat setempat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Berdasarkan maklumat yang diterima, kita membuat penilaian dan menyalurkan bantuan seperti mana dikehendaki. Kita percaya kebanyakan mereka terjejas sepanjang pandemik Covid-19 ini.
“Dan kita lihat sebentar tadi, satu keluarga menyatakan suaminya diberhentikan kerja sejak tiga bulan lalu dan mempunyai empat orang anak.
“Mereka sememangnya sangat memerlukan bantuan daripada inisiatif ini sebagai survival untuk meneruskan kehidupan sekeluarga,” katanya.
OP Bantu inisiatif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui PDRM iaitu Skuad Aman Wanita (Amanita) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi memberi bantuan segera kepada mana-mana individu yang terputus bekalan makanan di seluruh negara.
– Deasoka