Sedih namun bersyukur bapa berjaya ditemui

Sedih namun bersyukur bapa berjaya ditemui

Kota Kinabalu: “Kami sekeluarga amat bersedih kerana bapa ditemui dalam keadaan sangat memilukan. Namun bersyukur bapa ditemui,”.

Demikian kata Joseph Yong, 34, anak kepada Simon Sange Tupe, yang ditemui tertanam di timbunan pasir di tebing sungai Kampung Dambai, Jalan Kionsom Lama, Inanam, di sini, hari ini.

Menurutnya, mereka dimaklumkan bapanya ditemui oleh rakan baik Paulus Julian sebelum mereka sekeluarga terus ke lokasi penemuan.

Katanya, walaupun sedih dengan keadaan bapa namun mereka bersyukur kerana dia dapat ditemui selepas tiga hari pencarian.

“Ketika itu, kami berada di berhampiran lokasi penemuan kereta Perodua Myvi untuk mencari bapa di kawasan berkenaan.

“Sebaik menerima berita ini, kami terus bergegas ke sini dan dapat melihat keadaan bapa yang menyedihkan,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mangsa.

Joseph berkata, mereka sekeluarga amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu sejak hari pertama kejadian.

Katanya, begitu juga dengan rakan-rakan pacuan empat roda yang turut hadir membantu mengeluarkan kereta bapanya yang terperangkap di sungai berkenaan.

Sementara itu, suasana di lokasi penemuan mayat mangsa diselubungi perasaan pilu dan sedih apabila ahli keluarga dan kenalan turut hadir di kawasan itu.

Malah, sebahagian mereka menenangkan kesedihan yang jelas sukar dikawal namun ada juga yang bersyukur kerana mangsa dapat ditemui.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|