Kota Kinabalu: Individu yang menemui mangsa Simon Sange Tupe mengaku didatangi mimpi oleh mendiang sebelum membuat pencarian, hari ini.
Paulus Julian, 57, berkata, dia berkawan baik dengan mangsa selepas mengenalinya lebih 8 tahun lalu.
Katanya, dia bermimpi mangsa memohon pertolongan untuk mencarinya di kawasan timbunan pasir di tebing sungai.
“Selain itu, mendiang juga memberitahu petanda tempat dia terkubur adalah pasir berbuih. Oleh itu, pagi tadi saya dan abang saya, Damian, 70, membuat keputusan untuk membantu mencari mangsa.
“Ketika melalui kawasan ini, tiba-tiba saya ternampak lalat selain pasir berbuih sebelum teringat akan mimpi malam tadi,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan di tebing sungai Kampung Dambai, Jalan Kionsom Lama, Inanam, hari ini.
Paulus berkata, dia terus menekan pasir itu sebelum terasa sesuatu dan cuba menggali timbunan pasir berkenaan.
“Selepas menggali beberapa minit sebelum ternampak badan manusia dan terus menghubungi anak mangsa untuk memaklumkan penemuan itu.
“Selepas itu, pasukan polis dan bomba turut datang ke sini untuk membuat pemeriksaan,” katanya.
Paulus berkata, dia amat bersedih namun bersyukur kerana berjaya menemui mangsa yang hilang sejak Jumaat lalu.
Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan mangsa beberapa jam sebelum kejadian yang menimpa rakan baiknya itu.
“Kali terakhir saya bertemunya di Pekan Inanam, sehari sebelum kejadian berlaku.
“Namun ketika itu, kami hanya bertegur sapa sekejap kerana mempunyai urusan untuk membeli barangan keperluan rumah,” katanya.
-Deasoka