Suntikan vaksin untuk remaja di Sabah bermula Oktober

Suntikan vaksin untuk remaja di Sabah bermula Oktober

Kota Kinabalu: Sabah boleh memulakan vaksinasi untuk golongan remaja atau individu berumur di bawah 18 tahun selepas berjaya mencapai sasaran imuniti kelompok dewasa pada bulan depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata keutamaan ketika ini bagaimanapun adalah untuk meningkatkan keupayaan vaksinasi golongan dewasa termasuk menerusi penambahan program jangkauan luar, selain kemudahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada.

Katanya, bagi mencapai imunisasi kelompok pada bulan depan, kerajaan Pusat komited menghantar sebanyak 2.89 juta dos vaksin Covid-19 ke Sabah sepanjang bulan ini seperti yang diumumkannya sebelum ini.

“Kerajaan persekutuan menyatakan komitmen kita untuk menghantar 2.89 juta vaksin pada bulan ini. Kita yakin dengan jumlah ini, Sabah dapat meningkatkan kadar vaksinasi kepada 60,000 hingga 70,000 sehari.

“Berdasarkan kadar itu, kita mensasarkan Sabah mampu mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap divaksin menjelang akhir bulan ini dan 80 peratus lengkap vaksin pada Oktober depan.

“Bagi mencapai sasaran itu juga, kita akan meningkatkan lagi program jangkauan luar secara bergerak dengan kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) membabitkan sebanyang 130 program sepanjang September dan Oktober.

“Selepas selesai pada Oktober, iaitu apabila kita sudah mencapai imuniti kelompok dewasa 80 peratus, kita boleh mulakan vaksinasi untuk remaja,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat CITF Negeri Sabah yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Khairy berkata program vaksinasi untuk golongan remaja akan ditumpukan terhadap mereka yang dikenal pasti berisiko tinggi, selain yang berumur 16 tahun dan 17 tahun terlebih dahulu.

Katanya, Sarawak yang sudah mencapai tahap imuniti kelompok penduduk dewasa memulakan pemberian vaksin kepada golongan remaja pada minggu ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata kerajaan Pusat juga akan terus memberi keutamaan kepada Sabah apabila bekalan baharu vaksin dos tunggal CanSino tiba di negara ini.

Bagi bekalan yang diterima sebelum ini, katanya sebanyak 180,000 dos yang dibekalkan ke Sabah sejak 27 Ogos lalu dijangka selesai diberikan kepada penduduk di kawasan sukar dihubungi menjelang akhir bulan ini.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri berterima kasih kepada kerajaan Pusat, khususnya Khairy berikutan komitmen Kementerian Kesihatan membantu Sabah mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menghargai bantuan yang disalurkan kepada Sabah dalam usaha menangani jangkitan kes Covid-19 yang meningkat sejak beberapa bulan ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|