Mangsa Simon akhirnya berjaya ditemui selepas tiga hari di timbunan pasir

Mangsa Simon akhirnya berjaya ditemui selepas tiga hari di timbunan pasir

Kota Kinabalu: Mangsa Simon Sange Tupe, 68, akhirnya berjaya ditemui di kawasan dalam keadaan timbunan pasir di tebing sungai di Kampung Dambai, Inanam, di sini, hari ini.

Mayat mangsa yang ditemui dua beradik kira-kira jam 1.30 tengah hari itu kemudiannya dimaklumkan kepada pihak berkuasa yang segera ke lokasi penemuan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 1 kilometer daripada lokasi pertama kejadian Perodua Myvi berkenaan dihanyutkan.

Katanya, mayat ditemui tertanam di dalam timbunan pasir di kawasan Kampung Dambai iaitu sejauh 800 meter daripada lokasi penemuan kenderaan berkenaan.

“Mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk menjalani proses ujian Covid-19 sebelum bedah dijalankan.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat mangsa, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pihak polis mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan diharap dapat bersabar dengan dugaan ini.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi menasihati masyarakat supaya sentiasa berhati-hati terutamanya ketika musim hujan yang menyebabkan beberapa jalan dibanjiri.

Katanya, sekiranya berhadapan jalan yang berisiko seperti kejadian ini, masyarakat diminta bersabar bagi mengelakkan insiden seperti ini berulang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 2.20 petang, hari ini.

Katanya, kita bersyukur mayat mangsa dapat ditemui atas usaha semua pihak yang tampil membantu dalam operasi ini.

“Mayat mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kita juga berterima kasih kepada penduduk kampung yang berjaya membantu pasukan pihak berkuasa untuk menemui mangsa,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|