KKM hantar peralatan tambahan rawat pesakit Covid-19 ke Sabah esok

KKM hantar peralatan tambahan rawat pesakit Covid-19 ke Sabah esok

Kota Kinabalu: Kementerian Kesihatan (KKM)akan menghantar peralatan perubatan tambahan dan tenaga kerja perubatan bagi membantu usaha menangani peningkatan kes Covid-19 di Sabah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamalluddin, berkata peralatan perubatan yang akan dihantar segera esok itu merangkumi 480 unit silinder oksigen, 24 kotak Oxygen Regulator dan lima kotak ubat-ubatan Covid-19.

Katanya, penghantaran peralatan berkenaan akan dilaksanakan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Bagi menghadapi trend peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Sabah, tindakan intervensi yang lebih holistik dan tuntas mesti dilaksanakan.

“Ini termasuklah kesiapsiagaan dari segi kemudahan, bantuan peralatan dan sumber manusia. Sehubungan itu, KKM akan menghantar peralatan perubatan tambahan ke Sabah dengan segera esok,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat CITF Negeri Sabah yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Khairy yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Sabah sehingga esok turut mendengar taklimat situasi semasa jangkitan Covid-19 dan program pemberian vaksin di Sabah.

Beliau berkata, KKM juga akan menyediakan modular Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan kapasiti 10 katil di Hospital Tawau yang dijangka beroperasi pada akhir September ini selain membuka semula hospital medan dengan kerjasama ATM bagi meningkatkan keupayaan merawat pesakit Covid-19 di daerah itu.

Selain itu, katanya KKM juga akan menambah sebanyak 29 buah ambulans untuk keperluan semua hospital di Sabah selain meningkatkan jumlah ambulans melalui kaedah penyewaan sehingga proses perolehan ambulans selesai.

Beliau berkata, sehingga 2 September 2021, sebanyak 27 hospital Covid-19 beroperasi di seluruh negeri dengan kapasiti 151 katil ICU Covid-19 dan 1,743 katil bukan ICU untuk merawat pesakit Covid-19 di Sabah.

Pada masa sama, katanya sebanyak 31 Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) turut dibuka dengan kapasiti sebanyak 7,143 katil.

Sementara itu, katanya bagi memastikan penggunaan sumber manusia yang optimum di semua fasiliti kesihatan KKM termasuk di lapangan, sejumlah 97 daripada 150 pegawai perubatan lantikan tetap diarahkan melapor diri di Sabah pada 2 Ogos dan 1 September lalu.

“Seramai 50 Pegawai Perubatan tambahan akan ditawarkan pelantikan tetap bermula 13 September 2021. Selain itu, seramai 78 Penolong Pegawai Perubatan yang dimobilisasi ke Selangor sebelum ini juga diarah pulang ke Sabah dan semua mereka dijangka tiba di sini menjelang akhir minggu ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|