Bantuan PEMERKASA Plus Fasa 2 kepada pemandu pengangkutan awam dibayar mulai esok

Bantuan PEMERKASA Plus Fasa 2 kepada pemandu pengangkutan awam dibayar mulai esok

Kota Kinabalu: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah akan menyalurkan bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) Fasa 2 kepada 325 pemandu pengangkutan awam di Sabah dan Labuan mulai esok.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusinya, Datuk Chin Kim Hiung, berkata bantuan sekali bayar RM500 itu membabitkan pembayaran keseluruhan berjumlah RM162,000.

Katanya, bayaran berkenaan adalah lanjutan daripada bantuan PEMERKASA Fasa 1 kepada 6,496 pemandu pengangkutan di Sabah dan Labuan yang disalurkan bermula 27 Julai lalu membabitkan peruntukan RM3.2 juta.

“Bagi pembayaran PEMERKASA Plus Fasa 2, seramai 198 orang adalah pemandu teksi dan kereta sewa dengan jumlah peruntukan sebanyak RM99,000, diikuti 79 orang pemandu E-Hailing dengan jumlah peruntukan RM39,500, seramai 40 orang pemandu bas sekolah (RM20,000) dan lapan orang pemandu bas pelancong (RM4,000).

“Selepas pembayaran PEMERKASA Plus Fasa 2 ini selesai, bermakna jumlah keseluruhan yang diperuntukkan kerajaan bagi menjaga kebajikan seramai 6,821 pemandu pengangkutan awam di Sabah dan Labuan adalah sebanyak RM3.4 juta.

“Jumlah peruntukan yang besar ini menunjukkan kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib pemandu pengangkutan awam di Sabah dan Labuan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara kita,” katanya.

Kim Hiung berkata, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban pemandu yang terjejas sepanjang tempoh pandemik.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pemandu pengangkutan awam di Sabah dan Labuan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam usaha bersama mengekang penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|