Sabah masih perlu 2.67 juta dos vaksin Covid-19

Sabah masih perlu 2.67 juta dos vaksin Covid-19

Kota Kinabalu: Sabah masih memerlukan 2.67 juta dos vaksin Covid-19 lagi bagi memenuhi keperluan penduduk yang belum divaksin dan belum melengkapkan suntikan kedua.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jumlah itu hanya untuk penduduk dewasa dan belum mengambil kira jumlah penduduk berumur antara 12 tahun hingga 17 tahun.

Katanya, sehingga 4 September lalu, seramai 122,190 individu berumur 18 tahun ke bawah berdaftar dalam sistem MySejahtera sebagai penerima vaksin Covid-19 di Sabah.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan persekutuan atas keprihatinan pemberian bekalan vaksin yang diperlukan. Bekalan vaksin sebanyak 1,056,360 dos pada bulan Julai diikuti 1,650,510 dos pada bulan Ogos dan 765,920 dos sehingga 5 September dapat melonjakkan aktiviti pemberian vaksin dan meningkatkan kadar peratusan penduduk diimunisasi.

“Namun, berdasarkan bilangan baki penduduk yang belum menerima vaksin dan jumlah penduduk yang masih menunggu dos kedua, Sabah masih memerlukan bekalan vaksin yang agak banyak iaitu 2,672,645 dos lagi.

“Jumlah ini hanyalah untuk penduduk dewasa dan belum melibatkan penduduk berumur 12 tahun hingga 17 tahun,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) Sabah yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji berkata, setakat 4 September 2021, peratusan penduduk dewasa yang menerima vaksin lengkap di Sabah meningkat kepada 44.8 peratus, manakala 63.7 peratus penduduk sudah menerima dos pertama.

Katanya, kerajaan negeri yakin dengan kapasiti pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditingkatkan sehingga 83,140 orang sehari dan pelaksanaan program jangkauan luar ke kawasan terpencil, sasaran untuk mencapai 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin dapat dicapai pada bulan depan.

Sementara itu, Hajiji merakamkan terima
kasih kepada Khairy atas lawatan kerjanya yang pertama ke Sabah sebagai Menteri Kesihatan selepas dilantik menerajui Kementerian Kesihatan pada 27 Ogos lalu.

“Saya ingin merakamkan tahniah kepada Khairy yang kini menerajui Kementerian Kesihatan. Lawatan Menteri Kesihatan ke Sabah turut membawa berita gembira kepada negeri ini terutamanya berkaitan peningkatan aktiviti vaksinasi bagi vaksin CanSino melalui program jangkauan luar bergerak.

“Selain itu, penambahan peralatan perubatan ke Sabah yang dihantar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti silinder oksigen, kotak Oxygen Regulator dan ubat-ubatan Covid-19 dalam minggu ini sudah tentu meningkatkan lagi keupayaan rawatan pesakit Covid-19 di negeri ini.

“Begitu juga dengan penambahan ambulans dan pegawai perubatan. Justeru, kerajaan negeri ingin merakamkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan khususnya kepada Menteri Kesihatan. Harapan kita juga agar Sabah mendapat bekalan vaksin yang mencukupi,” katanya.

Hajiji turut memaklumkan bahawa pengurusan Covid-19 di Sabah dipantau dan diurus oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah yang bermesyuarat setiap hari.

“Kerajaan negeri juga berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana membenarkan Sabah beralih dan kekal di Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengagihkan bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terkesan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan dikenakan kuarantin di rumah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|