PPS dan PKOB banjir di Beaufort ditutup tengah hari tadi

PPS dan PKOB banjir di Beaufort ditutup tengah hari tadi

Beaufort: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Datuk Mohd Dun Banir, di sini ditutup selepas semua 75 mangsa banjir dibenarkan pulang tengah hari tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Beaufort, berkata serentak dengan itu Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) banjir daerah yang dibuka sejak lima hari lalu turut ditutup.

“PPS Dewan Datuk Mohd Dun Banir ditutup secara rasmi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Beaufort, Tuan Abdul Bin Imam Basiru atas nasihat agensi terlibat pada jam 1 tengah hari, 6 September 2021. Penutupan PKOB Banjir Daerah Beaufort juga dibuat pada jam dan tarikh yang sama.

“Penghantaran balik mangsa banjir ke rumah masing-masing dibuat pada jam 1 tengah hari tadi menggunakan kenderaan agensi penyelamat dan sebahagian mangsa menggunakan kenderaan sendiri.

“Lokasi transit sementara mangsa banjir di Dewan Suasa juga ditutup hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, petang ini.

Banjir melanda 45 kampung di Beaufort dan 15 kampung di daerah kecil Membakut sejak Khamis lalu berikutan limpahan air Sungai Padas dan Sungai Membakut akibat hujan lebat berterusan selama beberapa hari sebelum itu.

Bagaimanapun, keadaan banjir dilapor beransur pulih sejak semalam berikutan penurunan paras air di kedua-dua sungai dengan bacaan terbaharu hari ini menunjukkan paras waspada di Sungai Padas dan paras normal di Sungai Membakut.

Seramai 75 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Datuk Mohd Dun Banir sehingga tengah hari tadi terdiri daripada penduduk Kampung Brunei, Sungai Damit dan Skim Kampung Brunei di Membakut.

Kediaman dan laluan masuk ke kampung penduduk terbabit dilaporkan sudah pulih daripada banjir dan mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Operasi banjir kali ini disertai anggota dari 10 agensi dan jabatan berkaitan iaitu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah Beaufort dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).

Selebihnya ialah anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Daerah Beaufort (MDB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|