Shahelmey dilantik Pengarah Operasi Program Imunisasi Negeri Sabah

Shahelmey dilantik Pengarah Operasi Program Imunisasi Negeri Sabah

Kota Kinabalu: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah yang juga Exco Kesihatan negeri, Ir Shahelmey Yahya dilantik sebagai Pengarah Operasi Program Imunisasi Negeri Sabah.

Pelantikan itu dimaklumkan jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, dalam kenyataannya petang ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata pelantikan Shahelmey adalah untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 dilakukan dengan lebih cepat dan berkesan.

“Tugas beliau ialah membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merancang dan melaksanakan program-program imunisasi di negeri Sabah untuk memastikan kita mencapai sasaran peratusan penduduk yang lengkap divaksin pada tarikh yang telah ditetapkan.

“YB Shahelmy juga akan mengawasi dan melakukan penyelarasan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudahan-kemudahan dan keperluan-keperluan mendadak di hospital-hospital di Sabah yang diperlukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Masidi berkata, Shahelmey juga akan mengeluarkan kenyataan akhbar dari semasa ke semasa atau apabila diperlukan bagi memaklumkan kepada orang ramai mengenai perkembangan terbaharu program imunisasi negeri Sabah dan maklumat lain yang perlu diketahui orang ramai.

Tengah hari tadi, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan keyakinannya untuk Sabah mencapai sasaran 60 peratus penduduk dewasanya lengkap vaksin Covid-19 menjelang akhir bulan ini dan 80 peratus pada Oktober depan.

Bagi mencapai sasaran itu, Khairy turut mengulangi komitmen kerajaan Pusat untuk membekal 2.89 juta dos vaksin ke negeri ini sepanjang September ini seperti dimaklumkannya sebelum ini.

Sementara itu, Masidi berkata kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada Khairy atas tindakan proaktif beliau untuk memastikan bekalan vaksin ke Sabah mencukupi dan mampu menampung keperluan penduduk negeri ini.

Katanya, setakat semalam, statistik Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) Sabah menunjukkan 45.49 peratus penduduk dewasa Sabah sudah memperolehi vaksin lengkap, manakala 63.98 peratus memperolehi satu dos vaksin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|