Covid-19 Sabah: Sabah catat penurunan kes tiga hari berturut-turut

Covid-19 Sabah: Sabah catat penurunan kes tiga hari berturut-turut

Kota Kinabalu: Sabah mencatat penurunan kes Covid-19 tiga hari berturut-turut dan pertama kali mencatat kes di bawah 2,000 selepas hampir sebulan mencatat antara 2,000 hingga 3,000 kes sehari.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia berikutan catatan terbaharu kes Covid-19 di Sabah pada hari ini iaitu sebanyak 1,844 kes berbanding 2,136 kes yang direkodkan semalam.

“Kes terus menurun hari ini bagi hari ketiga dan buat pertama kalinya sejak beberapa hari lepas dengan angka di bawah paras 2,000 kes, daripada 2,136 kes semalam kepada 1,844 kes pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, hampir semua bandar utama di seluruh negeri mencatat penurunan kes hari ini, antaranya Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.

Beliau berkata, hanya Tuaran, Penampang, Putatan, Tambunan, Nabawan, Telupid dan Semporna mencatat kenaikan kes pada hari ini.

“Daripada 1,844 kes hari ini, sebanyak 715 kes atau 38.77 peratus atau adalah kes lewat didaftar antara dua hingga tiga hari selepas tarikh keluar keputusan ujian saringan, diikuti 145 kes (7.86 peratus) lewat didaftar antara empat hingga lima hari dan 132 kes (7.16 peratus) adalah kes lewat didaftar melebihi lima hari.

“Saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian dengan 1,104 atau 59.90 peratus daripada 1,844 kes hari ini, diikuti 536 kes atau 29.10 peratus melalui saringan bergejala dan 77 kes atau 4.2 peratus melalui saringan aringan kluster,” katanya.

Katanya, di Kota Kinabalu, 34.69 peratus daripada kes hari ini berpunca daripada saringan bergejala, Sandakan (36.75 peratus), Tawau (37.39 peratus) dan Penampang (31.03 peratus).

Jelasnya, pesakit Kategori 3, 4 dan 5 masih dalam paras yang dianggap tinggi iaitu 464 kes (25.16) bagi Kategori 1, manakala Kategori 2 sebanyak 1,252 kes (67.90 peratus), Kategori 3 (12 kes), Kategori 4 (12 kes) dan Kategori 5 (10 kes).

“Daripada 1,844 pesakit hari ini, 1,698 (92.08 peratus) adalah warga negara, manakala 146 pesakit (7.92 peratus) adalah warga asing, lelaki 50.70 peratus dan perempuan 49.30 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, dua kluster baharu Covid-19 berkaitan tempat kerja turut dilaporkan hari ini iaitu Kluster Sawit Simpang Batu 38, Nabawan dan Kluster Bawah Bayu, Tuaran yang masing-masing merekodkan kumulatif 87 kes dan 63 kes.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|