Kota Kinabalu: Tiga pemilik premis dinasihatkan supaya menurunkan harga kit ujian kendiri Covid-19 mengikut harga siling yang ditetapkan kerajaan iaitu RM19.90 seunit.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Georgie Abas berkata, pihaknya melancarkan operasi pemeriksaan terhadap 35 premis di seluruh negeri ini.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tiga daripadanya gagal menurunkan harga kit ujian mengikut harga siling ditetapkan.
“Kerajaan melalui KPDNHEP akan memberikan kelonggaran selama tujuh hari dari tarikh pelaksanaan kawalan harga yang berkuat kuasa pada 5 September lalu.
“Ia bagi memberi ruang kepada peniaga-peniaga melakukan penyelarasan harga siling kit ujian kendiri Covid-19,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Georgie berkata, selepas tempoh itu, pihak kerajaan tidak lagi memberi kelonggaran kepada peniaga yang ingkar dengan kawalan harga maksimum ditetapkan.
Katanya, tindakan tegas akan diambil jika didapati peniaga masih ingkar dan menjual kit ujian kendiri Covid-19 dengan harga yang melebihi daripada yang ditetapkan kerajaan.
“Sepanjang tempoh seminggu ini, anggota penguat kuasa akan menggunakan pendekatan memberi peringatan kepada pemborong dan peruncit berhubung penetapan harga itu.
“Peniaga yang gagal menurunkan harga akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000,” katanya.
Menurutnya, bagi hukuman terhadap syarikat pula, boleh dikenakan didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
Sehubungan itu, Georgie berkata, semua peniaga diminta mematuhi kawalan harga yang ditetapkan bagi memastikan peralatan itu dapat dibeli pada harga mampu milik.
“Ia bagi memastikan pemantauan terhadap risiko jangkitan dan penularan pandemik Covid-19 dapat dikawal,” katanya.
-Deasoka