Pemandu, pembantu pengangkutan awam wajib lengkap vaksin

Pemandu, pembantu pengangkutan awam wajib lengkap vaksin

Kota Kinabalu: Pemandu dan pembantu pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas sekolah, teksi dan e-hailing di Sabah diwajibkan lengkap vaksin Covid-19 sebagai syarat beroperasi.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata syarat tambahan itu wajib dipatuhi berkuatkuasa 16 September ini.

Katanya, ia adalah syarat tambahan kepada syarat sedia ada dalam prosedur operasi standard (SOP) yang sedang dikuatkuasakan seperti pematuhan penjarakan fizikal di dalam kenderaan dan pemakaian pelitup muka.

“Diingatkan juga bahawa kapasiti penumpang semua perkhidmatan bas henti-henti dihadkan kepada 50 peratus sahaja, manakala untuk teksi dan e-hailing pula dihadkan maksimum hanya dua orang termasuk pemandu,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Kerajaan negeri membenarkan operasi bas henti-henti, teksi dan e-hailing, namun terhad dalam daerah yang sama berikutan larangan rentas daerah yang masih dikuatkuasakan, kecuali bagi daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan yang dikategorikan dalam satu daerah.

Dalam pada itu, dua lagi kluster baharu Covid-19 berkaitan jangkitan di tempat kerja dilaporkan di Sabah hari ini, iaitu Kluster Bawah Bayu di daerah Tuaran dan Kluster Sawit Simpang Batu 38,
Nabawan.

Kluster Bawah Bayu dikesan selepas seorang lelaki berumur 55 tahun yang bekerja di bahagian penghantaran sebuah makmal patologi swasta di Luyang, Kota Kinabalu, disahkan positif Covid-19 melalui saringan tempat kerja.

Masidi berkata saringan kontak rapat kemudian mengesan 11 kontak serumah positif Covid-19 termasuk seorang anaknya yang bekerja sebagai Pegawai Penjara.

“Susulan saringan kontak rapat anak kepada kes indeks, seramai 51 orang lagi dikesan positif termasuk tiga kes dari daerah Kota Kinabalu menjadikan jumlah kumulatif kes positif dalam kluster ini seramai 63 kes termasuk 46 kes baharu hari ini,” katanya.

Sementara itu, Kluster Sawit Simpang Batu 38 dikesan hasil saringan bersasar di tempat kerja membabitkan pekerja sebuah ladang kelapa sawit di Batu 38, Nabawan.

Kes indeks adalah lelaki berumur 55 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 29 Ogos lalu hasil saringan bergejala selepas mengalami demam, batuk dan sakit sendi sejak 27 Ogos lalu.

“Hasil pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 309 rakan sekerja, ahli keluarga dan kontak kasual, sebanyak 87 kes positif dikesan termasuk 16 kes baharu hari ini, manakala 222 individu didapati negatif sampel pertama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|