Dua tahanan melarikan diri dari PKRC ditahan semula

Dua tahanan melarikan diri dari PKRC ditahan semula

Tawau: Dua daripada tiga tahanan yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin pesakit Covid-19(PKRC) Dewan Arena Tawau Sabah, berjaya ditahan semula dalam tempoh kurang 24 jam.

Kedua-dua individu terbabit dikesan selepas polis menerima maklumat awam dan hasil siasatan pasukan Op Kesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, tangkapan suspek pertama iaitu Hashim Muhamad Syata, 34, dilakukan pada jam 12.30 tengah hari tadi, di kawasan Tawau Lama.

Katanya, suspek kedua pula iaitu Niko Matheus, 25, berjaya ditahan di Kampung Kau Sing, Batu 7, pada jam 5.30 petang.

“Suspek pertama adalah tahanan polis yang sedang menjalani tahanan reman sementara menunggu perbicaraan mahkamah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Manakala seorang lagi suspek iaitu Niko pula sudah dijatuhi hukuman 4 tahun penjara selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah dan curi oleh Mahkamah Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Peter berkata, seorang lagi banduan yang melarikan diri iaitu Jimnajir Annor,23 masih belum ditemui dan operasi memburu suspek sedang dijalankan.

Dalam kejadian jm 12.30 tengah malam Sabtu lalu, tiga lelaki yang dibawa ke pusat berkenaan selepas didapati positif Covid-19 berjaya melarikan diri.

Berikutan kejadian itu, polis terus melancarkan Op Tutup dan Op Kesan di setiap laluan darat dan laut bagi memburu ketiga banduan dan tahanan terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|