Kota Kinabalu: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Sabah Development Bank Berhad (SDB) berkaitan pelbagai pakej pembiayaan dan program pembangunan usahawan bernilai RM150 juta.
Selain itu, dalam majlis yang berlangsung di Menara Kinabalu, siang tadi, SME Bank turut bertukar dokumen Surat Niat (Letter of Intent) dengan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) berhubung pelaksanaan program pembangunan usahawan Asnaf di Sabah.
Majlis menandatangani MoU di antara SME Bank dan SDB disempurnakan Presiden Kumpulan yang Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail dan Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SDB, Datuk Vincent Pung Yee Kiong.
Bagi penyerahan Surat Niat (Letter of Intent) di antara SME Bank dengan MUIS, Aria sekali lagi mewakili SME Bank, manakala MUIS diwakili Timbalan Yang di-Pertuanya, Malai Ali Malai Ahmad.
Majlis itu disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Kewangan lI Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.
Antara inisiatif yang terkandung dalam MoU bersama SDB termasuk penyediaan pakej pembiayaan dengan jaminan SDB dan kemudahan pembiayaan ‘club deal’ bagi projek berskala besar untuk usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sabah.
Ia turut membabitkan perkongsian sumber di antara SME Bank dan SDB serta kerjasama melaksanakan program pembangunan usahawan dan mempromosikan kemudahan yang disediakan oleh kedua-dua pihak.
Sektor yang menjadi perhatian menerusi kerjasama itu pula ialah perindustrian, pelancongan dan aktiviti pembuatan serta perdagangan sektor pertanian yang seiring dengan teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025.
Kerjasama dijalin melalui MoU itu juga adalah antara usaha memulihkan kembali prestasi ekonomi Sabah menerusi pembukaan semula aktiviti ekonomi di bawah fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Aria berkata sehingga Julai tahun ini institusi kewangan itu meluluskan pembiayaan bernilai RM88 juta kepada 150 PKS di Sabah, manakala RM118 juta membabitkan 184 PKS pada tahun lalu.
Katanya, pembiayaan itu dikeluarkan melalui tiga cawangannya di Sabah iaitu Pusat Wilayah Sabah, Pusat Enterpris Kota Kinabalu dan Pusat Enterpris Tawau.
“Kerjasama pada hari ini adalah satu inisiatif bagi membolehkan SME Bank dan SDB menawarkan pakej yang lengkap kepada usahawan PKS di Sabah.
“Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan yang memegang mandat memupuk dan membangunkan PKS negara, adalah penting untuk SME Bank meluaskan jaringan perkhidmatan agar tiada PKS yang ketinggalan dalam menerima bantuan,” katanya.
Beliau berkata, anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR) turut sama menawarkan program pembangunan keusahawanan dan keupayaan yang bersesuaian bagi memperkasakan lagi usahawan PKS di bawah ekosistem SDB.
Sementara itu, Vincent berkata, kerjasama di antara SME Bank dan SDB tepat pada masanya bagi menyokong inisiatif kerajaan persekutuan dan negeri dalam sektor PKS.
Jelasnya, sektor PKS memainkan peranan penting dalam perkembangan sosio ekonomi negara, terutama dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan penyediaan peluang pekerjaan.
“SDB merakamkan ribuan terima kasih kepada SME Bank kerana memulakan inisiatif menerokai kerjasama ini. Besarlah harapan agar inisiatif pertama ini menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.
“SDB adalah sebuah institusi kewangan pembangunan di bawah seliaan Kementerian Kewangan Negeri Sabah dan ia akan terus memenuhi mandat yang diberikan untuk memenuhi keperluan pembangunan sosio ekonomi Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, melalui Surat Niat di antara SME Bank dan MUIS pula menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama menjayakan Program Keusahawanan Asnaf ISHRAF 2.0 yang dijangka bermula pada Oktober ini.
Melalui kerjasama itu, MUIS akan memilih 10 peserta dalam kalangan usahawan Asnaf bagi menyertai Program ISHRAF 2.0 SME Bank.
Peserta akan mengikuti latihan keusahawanan secara berstruktur yang dikendalikan perunding latihan keusahawanan secara dalam kelas dan sesi bimbingan berkala secara berterusan selama setahun.
Ia bagi memastikan perkembangan perniagaan dan peningkatan tahap sosio ekonomi peserta, sekali gus mengeluarkan mereka daripada golongan yang menerima zakat kepada kelompok yang mengeluarkan zakat.
ISHRAF adalah satu program yang dirangka khusus untuk pembangunan usahawan Asnaf yang mula diperkenal pada 2020 melalui ISHRAF 1.0.
Kehadiran Program ISHRAF adalah tepat pada masanya memandangkan ramai usahawan Asnaf kategori mikro dan B40 terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19.
Selain Sabah, Program ISHRAF 2.0 juga diperluaskan dengan melibatkan usahawan Asnaf terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perlis.
-Deasoka