Penampang: Empat sekeluarga rentung selepas dipercayai terperangkap di dalam rumah yang terbakar, dalam kejadian di Taman Hungab, Jalan Nosob, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, rumah berkeluasan 55 meter persegi itu musnah terbakar 100 peratus manakala dua kenderaan Proton Saga dan Perodua Alza turut musnah 30 peratus terkena bahang kebakaran.

Ketua Zon I Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.52 pagi.
Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, keadaan api masih marak di dalam rumah berkenaan dan operasi pemadaman segera dijalankan.
“Pasukan Bomba memadam kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 60 meter dua pancutan menggunakan sumber air dari tangki jentera,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Menurutnya, api hanya berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.10 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pasukan bomba menemui empat mangsa rentung di dalam rumah berkenaan.
“Empat mangsa yang terbabit dalam insiden kebakaran ini adalah suami isteri iaitu Matthew Wong, 50, dan Jecky Vun Kon Fong, 47, serta dua anak mereka Brandon Wong, 18 dan Eric Wong, 15 tahun.
“Tiga mangsa lelaki terperangkap di dalam bilik di tingkat atas manakala seorang lagi iaitu mangsa wanita ditemui di dalam bilik air,” katanya.
Hamsa berkata, semua mangsa sudah dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Bahagian Forensik JBPM.
-Deasoka