14 pemain bola wanita Sabah wakil Malaysia ke pusingan kelayakan AFC Piala Asia 2022

14 pemain bola wanita Sabah wakil Malaysia ke pusingan kelayakan AFC Piala Asia 2022

Kota Kinabalu: Seramai 14 pemain bola sepak wanita dari Sabah terpilih menyertai skuad kebangsaan bagi persiapan menghadapi pusingan kelayakan Kejohanan Bolasepak Wanita AFC Piala Asia 2022.

Mereka termasuk lima pemain yang menganggotai pasukan wanita Sabah manakala sembilan pemain lagi mewakili pasukan di Semenanjung iaitu Melaka United dan Negeri Sembilan.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Jelani Hamdan, berkata pemilihan pemain terbabit dalam pasukan kebangsaan adalah pencapaian yang sangat membanggakan negeri ini.

Katanya, walaupun hanya lima pemain beraksi untuk pasukan negeri ketika ini namun keupayaan pemain lain untuk bermain dalam pasukan di Semenanjung membuktikan pemain wanita dari negeri ini mampu menyerlah di luar.

“Kehadiran semua mereka dalam pasukan kebangsaan adalah satu penghormatan kepada Sabah yang memiliki pemain wanita yang berbakat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Jelani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita SAFA, berkata pemain terbabit bersama pemain lain skuad kebangsaan akan berlepas ke Palestin pada 15 September ini untuk menghadapi perlawanan pusingan kelayakan itu.

“Kita doakan mereka menunjukkan prestasi terbaik untuk membantu skuad kebangsaan mencapai kejayaan dalam perlawanan yang mereka harungi nanti,” katanya.

SAFA katanya akan melipat gandakan usaha untuk mencungkil lebih ramai pemain wanita berkaliber diketengahkan dalam pasukan negeri dan mampu untuk mewakili skuad kebangsaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|