Saya kini lebih tenang

Saya kini lebih tenang

Sandakan: Lebih tenang. Itu pengakuan saudara baru, Nur Laila Abdullah yang menyatakan kehidupannya lebih tenang selepas memeluk agama Islam.

Wanita berusia 65 tahun mendapat perhatian umum di media sosial selepas videonya mengucap dua khalimah syahadah di wad covid-19 tular baru-baru ini.

Menurutnya, selepas memeluk islam pada 9 September lalu, dia merasai ketenangan selepas segala masalah dan kebimbangannya seakan hilang tiba-tiba.

Bekas penghidap Covid-19 tahap lima itu berkata, keinginannya untuk memeluk agama Islam datang secara tiba-tiba.

Katanya, ia mungkin disebabkan niatnya untuk memeluk Islam sejak beberapa tahun lalu akhirnya tercapai.

“Inilah hasrat dan niat untuk memeluk Islam selama beberapa tahun lalu, memang begitu tapi tidak pernah tercapai.

“Kebetulan pula masuk hospital, adik dan anak mendorong untuk saya memeluk Islam. Rasa yakin, maka saya pun masuk Islam,” katanya.

Nur Laila berkata, sebelum ini ramai ahli keluarganya sering mengajaknya untuk memeluk islam.

Namun katanya, mungkin disebabkan belum memiliki ruang yang sesuai sehinggalah pada 9 September lalu, maka dia mengambil keputusan untuk melafazkan Dua Khalimah Syahadah.

Selepas memeluk Islam, dia bersyukur kerana ada keajaiban berlaku terhadap dirinya yang kini tidak lagi memerlukan bantuan oksigen.

“Sekarang kesihatan Alhamdulillah bertambah baik. anak-anak pun bersyukur juga kerana saya semakin sihat.

“Saya berharap dapat sembuh dan keluar daripada hospital dengan segera serta merancang untuk mengadakan doa selamat kecil-kecilan untuk hal ini,” katanya.

Menurutnya, dia kini sedang belajar untuk memakai tudung dan membiasakan diri memakai hijab.

Terdahulu, Deasoka pernah melaporkan seorang wanita yang sedang menghidap Covid-19 tahap lima mengambil keputusan untuk memeluk Islam dengan disaksikan jururawat.

Kejadian berkenaan hangat diperkatakan dalam kalangan netizen selepas video wanita itu melafazkan khalimah syahadah dimuatnaik ke laman sosial.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|